KALAU DAH VAKSIN, KENAPA KENA JANGKITAN JUGA? BAIK TAK PAYAH VAKSIN!

Copied from here


Berlegar-legar kenyataan tersebut sejak wabak polio mula menyapa Malaysia 🇲🇾 kembali.

VAKSIN POLIO

Untuk pengetahuan umum, bayi yang dijangkiti polio di Sabah telah mengambil suntikan polio dos pertama dan dikesan mengalami simptom poliomyelitis sebelum mengambil vaksin polio dos kedua.

Vaksin polio di Malaysia diberikan sebanyak TIGA dos. Dos diberikan pada usia bayi 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan. Malaysia telah menggunakan sepenuhnya vaksin IPV (inactivated polio vaccine) yang menggunakan virus polio mati kerana Malaysia telah diisytihar sebagai negara bebas polio.

Baca tentang vaksin polio disini: https://www.facebook.com/615923662100226/posts/937675486591707?sfns=mo

Malaysia tidak lagi menggunakan vaksin OPV (oral polio vaccine) yang menggunakan virus polio hidup yang dilemahkan. Namun, negara jiran kita seperti Filipina masih menggunakan vaksin tersebut kerana masih lagi terdapat kes wabak polio dan kes cVDPV (circulating vaccine derived polio virus).

IPV yang kita gunakan TIDAK mengakibatkan polio atau paralisis akibat vaksin polio (VDPP). Kerana poliovirus yang digunakan adalah virus mati. Virus mati tidak akan hidup semula dan bermutasi menjadi virulen. Ini bukan cerita zombie!

Baca tentang wabak yang melanda Filipina akibat cVDPV: https://www.facebook.com/615923662100226/posts/940397012986221/?d=n

KENAPA MASIH KENA JANGKITAN WALAUPUN TELAH DIVAKSIN?

Fungsi vaksin adalah: 1) mengaruh sistem imun tubuh kita untuk membina perlindungan terhadap patogen khusus 2) tanpa mengakibatkan jangkitan.

Vaksin bukanlah perisai kebal yang 100% ampuh untuk kita tidak dijangkiti. Vaksin membantu dan melatih tubuh kita mengenal patogen khusus supaya tubuh kita dapat melawannya dengan cepat. Jika kita tidak kenal musuh dan tidak berlatih melawan musuh, risiko kita kalah dalam pertempuran mesti tinggi, kan?

Vaksin menurunkan risiko untuk dijangkiti, ia juga mengelak kita mengalami jangkitan dalam masa yang panjang dan komplikasi akibat jangkitan. Seperti vaksin polio IPV, ia tidak mengelakkan kita dari jangkitan sepenuhnya. Namun, apabila kita dijangkiti pun vaksin bertujuan utama untuk mengelak terjadinya jangkitan pada saraf tunjang yang mengakibatkan paralisis atau kelumpuhan otot.

Vaksin IPV tidak mengaruh antibodi IgA pada lapisan mukosa saluran gastrointestinal (perut-usus) kita. Jadi, pertahanan tubuh kita hanya melawan virus ini apabila ia berjaya masuk ke sistem tubuh.

Namun, dengan adanya sel memori imun yang telah dilatih untuk mengenal dan menghasilkan antibodi, cepat sahaja virus tersebut ditumpaskan. Berbanding jika itulah kali pertama sel imun kita bertemu musuhnya.

BAGAIMANA TUBUH MELAWAN JANGKITAN?

Bila patogen seperti bakteria, virus (atau fungus) masuk kedalam tubuh, mereka akan membiak dan menggunakan sumber tubuh kita. Inilah yang mengakibatkan jangkitan. Kadang-kala, bila patogen membiak dan bereplikasi, ia merembes toksin atau merosakkan sel tubuh kita.

Sel-sel imun tubuh kita secara umum boleh dikelaskan kepada tiga:

Makrofaj dan sel dendritik: makrofaj akan ‘menelan’ patogen dan sel dendritik (DC) akan memaparkan cebisan pengenalan unik setiap patogen pada permukaan selnya. Pengenalan unik ini dipanggil antigen. Tugas DC adalah untuk menyampaikan maklumat ini pada sel B dan sel T.

Sel B: sebahagian besar fungsinya adalah merembeskan antibodi yang mengenal antigen khusus patogen atau toksin yang dihasilkan oleh patogen. Antibodi ini membantu menghapus patogen dari tubuh kita.

Sel T: Secara umum ada tiga kelompok sel T: Helper, suppressor, killer. Sel T menghasilkan sitokin yang membunuh sel seperti sel T helper atau membunuh sel yang dijangkiti seperti Natural Killer Tcells. Sel T juga berperanan penting bagi regulasi sel B dan berperan menjadi penghubung sel DC dan sel B.

Apabila sel-sel ini menghadapi jangkitan, tubuh kita akan mengambil masa beberapa hari untuk sepenuhnya mengenal dan membina senjata ampuh melawan patogen.

Namun, apabila terkena jangkitan semula lain kali, tubuh sudah mempunyai sel memori imun yang boleh diaruh untuk merembes antibodi dan diarah untuk membunuh patogen dengan cepat.

BAGAIMANA VAKSIN MENGARUH SISTEM IMUN TUBUH?

Vaksin biasanya mengandungi: patogen hidup yang lemah, seperti vaksin polio OPV; patogen mati, seperti vaksin polio IPV, partikel, subunit atau toksin patogen seperti vaksin difteria dan pertussis.

Seperti tindakan tubuh apabila berlaku kemasukan patogen, sel makrofaj akan menelan dan menghapuskan patogen tersebut. Sel DC pula akan mempamer cebisan antigen bagi patogen tersebut pada permukaan selnya.

Sel-sel DC ini akan bermigrasi ke nodus limfa yang berdekatan untuk memperkenal antigen dan mengaruh sel B dan sel T. Ketika ini sel B akan diaruh untuk merembes antibodi. Sel B ini digelar sel plasma.

Sel-sel B plasma ini biasanya hanya diaruh dan menghasilkan antibodi (terutamanya IgG) selama beberapa hari sebelum mati. Antibodi yang dihasilkan juga tidaklah begitu spesifik dan tidak mempunyai afiniti kuat terhadap patogen.

Namun, sebahagian sel B terus tinggal di nodus limfa untuk diaruh, membahagi dan ‘mature’ untuk menjadi sel memori dan sel plasma yang lebih spesifik. Proses ini mengambil masa 2-4 minggu.

Antibodi IgG meningkat ke paras tinggi ketika ini. Namun, selepas itu sel-sel ini akan dimusnahkan dari tubuh. Sama seperti jika berlaku jangkitan secara alami, biasanya jangkitan telah sembuh ketika ini. Jadi, sel-sel ini tidak diperlukan lagi. Kecuali sel-sel memori imun.

Kita biasanya menggunakan patogen yang lemah atau mati dalam vaksin. Antibodi dan sel memori yang dihasilkan tubuh akan lebih rendah bagi memberi perlindungan yang optimum. Walaupun begitu, sel sel imun kita telah melalui proses ‘priming’ atau pengenalan terhadap patogen tersebut selepas dos pertama.

Booster atau suntikan dos kedua diberikan bagi terus mengaruh sistem imun kita menghasilkan pertahanan ampuh terhadap patogan tersebut.

Selepas diberikan dos kedua, biasanya tubuh akan mengambil masa yang cepat (tidak sampai seminggu) untuk menghasilkan antibodi dan sel-sel memori yang cukup optimum dan tinggi bagi melawan jangkitan. Titer antibodi IgG juga biasanya akan kekal lebih lama berbulan-bulan selepas suntikan kedua ini.

Dos seterusnya juga berfungsi seperti dos kedua ini - sebagai booster untuk mengaruh sel-sel B dan T, terutama sel memori. Kaedah ini memberikan imuniti yang lebih panjang dan optimum untuk mengurangkan risiko jangkitan dan komplikasi akibat jangkitan.

Jika suatu ketika nanti paras antibodi spesifik ini menurun sehingga paras yang sangat rendah, kita masih mempunyai sel memori imun yang akan dapat menghasilkan antibodi kembali dengan cepat.

Tetapi, ketika kita masih belum melengkapkan dos vaksinasi tersebut, kita sebenarnya masih belum sepenuhnya terlindung dari risiko jangkitan. Terutama hanya selepas dos pertama. Seperti yang berlaku pada bayi malang yang dijangkiti poliomyelitis tersebut.

MENGAPA YANG TIDAK DIVAKSIN TIDAK DIJANGKITI?

Mungkin jika bayi tersebut tidak dibawa dengan cepat kehospital dan tidak dikuarantin, akan ada lebih ramai lagi dijangkiti. Termasuk yang tidak divaksin. Syukur saja ibu ayah bayi tersebut cakna dan cepat bertindak.

Kita dapat lihat sekarang, bagaimana untuk pengenalan (priming) patogen sebenarnya amat mengambil masa. Jika berlaku jangkitan sebenar yang virulen, tentulah mengambil masa untuk tubuh kita menempuhnya. Risiko untuk kita mengalami akibat buruk atau komplikasi akan jadi lebih tinggi.

Sebab itulah vaksin adalah sangat PENTING. Sebagai pengenalan untuk tubuh kita bertungkus-lumus berlatih dan membina kekuatan dengan patogen lemah sebelum menghadapi pertempuran sebenar.

#vaksinlahbeb
#SembangMalam

RUJUKAN

Pulendran B. Systems vaccinology: probing humanity’s diverse immune systems with vaccines. Proc Natl Acad Sci USA. 2014;111(34):12300-12306.

Cooper NR, Nemerow GR. The role of antibody and comple- ment in the control of viral infections. J Invest Dermatol. 1984;83(1 suppl):121s-127s.

Geginat J, Paroni M, Maglie S, et al. Plasticity of human CD4 T cell subsets. Front Immunol. 2014;5:630.

Crotty S. A brief history of T cell help to B cells. Nat Rev Immunol. 2015;15(3):185-189.

https://www.cdc.gov/vaccines/hcp/conversations/downloads/vacsafe-understand-color-office.pdf

https://www.who.int/immunization/documents/Elsevier_Vaccine_immunology.pdf

https://pcouk.org/chapter.aspx?sectionid=78926493&bookid=1353XOXO Lots of loves -H3H-

0 comments: