[6/25] - Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam (Bahagian 2)



Did you know?

...sambungan

1) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah hidup bahagia, mereka mempunyai segalanya namun baginda masih belum mempunyai zuriat. Siti Sarah adalah seorang wanita yang tidak dapat melahirkan anak dan pada ketika itu Siti Sarah sudah tua. Nabi Ibrahim juga sudah berusia 85 tahun. Namun kerana kasihnya Siti Sarah pada suaminya, Siti Sarah menghadiahkan hambanya bernama Siti Hajar kepada nabi Ibrahim dan mengizinkan mereka berkahwin. Tidak lama kemudian, dengan izin Allah, Siti Hajar mengandung.

2) Hari yang ditunggu telah pun tiba dan Siti Hajar melahirkan anak lelaki yang bernama Ismail. Nabi Ibrahim sangat teruja dengan kelahiran anaknya.

3) Mimpi pertama: Allah perintahkan nabi Ibrahim utk membawa Siti Hajar dan anak yang baru lahir tadi ke sebuah tanah tandus di As-Sham, tinggalkan mereka di situ dan terus pulang kepada Siti Sarah, isteri pertamanya. Oleh kerana ini perintah Allah, nabi Ibrahim terus melakukannya tanpa mengeluh atau banyak tanya. Ini ujian Allah kepada nabi Ibrahim. Baginda sanggup melakukannya atas dasar perintah Allah.

4) Siti Hajar dan nabi Ismail ditinggalkan di tengah padang pasir yang tidak diketahui tempatnya. Apabila makanan telah habis, susu badannya kering. Nabi Ismail mula menangis dan Siti Hajar merasakan dia perlu lakukan sesuatu. Siti Hajar berlari-lari anak ke atas sebuah bukit bernama Safa untuk melihat dari atas jika ada orang yang lalu supaya dia dapat meminta bantuan. Kemudian berlari-lari anak ke sebuah lagi bukit bernama Marwa dan meninjau dari atas bukit itu pula. Diulang alik beberapa kali dari dua bukit tersebut. Tiba-tiba Siti Hajar terdengar satu bunyi daripada bawah. Siti Hajar berlari turun dari bukit ke arah anaknya. Bunyi tersebut adalah bunyi air yang sedang memancut keluar daripada tanah. Allah telah menurunkan bantuan kepada mereka.

5) Siti Hajar mengambil sedikit tanah basah dan bentukkan ia menjadi sebuah mangkuk kemudian ditadah air menggunakan mangkuk tersebut. Apabila sudah penuh, dia menyebut “Zam! Zam! Zam! Zam!” yg bermaksud, “Berhenti! Berhenti! Berhenti! Berhenti!” kerana air itu tidak berhenti memancut. Itulah air zam zam yang sehingga sekarang pun tidak berhenti keluar daripada tanah. Daripada air itu maka dapatlah Siti Hajar minum dan menghasilkan susu untuk nabi Ismail.

6) Di padang pasir, kebiasaannya pengembara nomad akan mencari burung kerana di mana ada burung di situ ada air. Orang Jurhum merupakan sebuah kaum yang sedang mengembara di situ dan daripada jauh mereka ternampak sekumpulan burung yang berterbangan di atas air zam zam tadi. Apabila mereka semakin mendekati, mereka ternampak ada seorang wanita dan seorang bayi. Mereka pun bertanya kepada Siti Hajar, “Bolehkah kami menetap di sini? Kerana di sini ada air, sebuah keajaiban di tengah padang tandus!” Siti Hajar melihat mereka ini sepertinya orang yang baik, maka diizinkan mereka menetap di situ dan minum dari air zam zam, dengan syarat perigi air zam zam menjadi hak dia dan anaknya. Maka bermulalah penempatan manusia di kawasan itu yang sekarang dikenali sebagai Mekah. Kaum Jurhum sangat sayang kepada nabi Ismail. Mereka membelanya dengan baik, mengajarnya bahasa Arab dan membesarkannya sebagai orang yang beriman.

7) Nabi Ibrahim selalu datang untuk melihat anaknya nabi Ismail. Nabi Ismail telah membesar dengan sempurna, sangat beriman kepada Allah dan nabi Ibrahim sangat sayang pada anaknya.

8 ) Mimpi kedua: Nabi Ibrahim berkata kepada nabi Ismail, “Aku telah mendapat mimpi. Allah telah memerintahku untuk menyembelihmu.” Tanpa berfikir panjang nabi Ismail terus berkata, “Ayah mesti lakukan. Ini perintah Allah.” Begitulah taatnya nabi Ismail kepada Allah. Lalu mereka menuju ke sebuah tempat yang tidak berapa jauh dari situ. Nabi Ismail yakin Allah tidak akan menyakitinya. Semasa dalam perjalanan, iblis muncul untuk menimbulkan ragu-ragu didalam hati nabi Ibrahim. Iblis berkata, “Betul ke kau nak bunuh anak kau ni?” Nabi Ibrahim campakkan batu ke arah Iblis itu. Iblis pergi kepada Ismail pula dan cuba menghasut, “Kau sanggup mati dibunuh bapa sendiri?” Ismail campakkan batu ke arah Iblis. Iblis pergi ke arah kedua-duanya dan cuba menghasut buat kali ketiga untuk menghentikan mereka daripada melaksanakan perintah Allah. Nabi Ibrahim dan nabi Ismail campakkan batu ke arah Iblis itu lagi. Inilah asal usul Jamratul Ula, Wusta & Aqabah dimana jemaah haji melontar batu.

9) Sampai di tempat yang dituju, nabi Ismail sedia berbaring untuk disembelih. Sebelum itu, baginda berpesan kepada bapanya, “Tunggu dahulu, terbalikkan aku supaya apabila mukaku menghadap ke tanah ayah tidak dapat melihat wajahku dan tajamkanlah pisau itu supaya ayah boleh melakukannya dengan cepat.” Nabi Ismail tidak mahu ayahnya melihat mukanya kerana bimbang timbul rasa simpati dan ragu untuk menjalankan perintah Allah.

10) Apabila disembelihnya nabi Ismail, pisaunya tidak terbenam. Dicuba dan cuba lagi. Rupanya setiap kali nabi Ibrahim cuba menyembelih, bilah pisau yang tajam itu terbalik ke atas. Bahkan pisau juga berpaling untuk melakukan sesuatu jika tidak diizinkan Allah. Kemudian Allah menggantikan tempat nabi Ismail dengan seekor kambing. Ini ujian Allah yang seterusnya keada nabi Ibrahim.

11) Mimpi ketiga: Allah perintahkan nabi Ibrahim dan Ismail utk membina Kaabah. Nabi Ibrahim dan Ismail mengumpulkan batu-batu dan mula membina sebuah bangunan berbentuk kotak. Nabi Ibrahim berdiri di atas sebuah batu dan nabi Ismail menghulurkan batu bata kepada bapanya.

12) Untuk batu yang terakhir, nabi Ibrahim meminta nabi Ismail untuk mencari batu paling paling cantik bagi melengkapi Kaabah namun tidak dijumpai batu yang sesuai. Tiba-tiba nabi Ibrahim datang kepada anaknya sambil membawa sebuah batu yang sangat cantik dan suci. Nabi Ibrahim berkata batu itu Allah telah turunkan kepadanya dari Jannah. Itulah batu Hajar Al-Aswad.

13) Setelah lengkapnya Kaabah, batu yang berada di bawah tapak kaki nabi Ibrahim menjadi lembut seketika menyebabkan tertinggalnya kesan tapak kaki nabi Ibrahim. Artifak batu tersebut adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang peristiwa bersejarah ini. Rujuk Al Quran (2:12).

14) Kemudian Allah perintahkan nabi Ibrahim untuk melaungkan panggilan kepada seluruh umat manusia untuk datang menunaikan ibadah haji. Nabi Ibrahim lihat sekeliling, tidak ada orang. Disitu merupakan kawasan padang pasir. Siapa yang akan mendengar panggilannya? Nabi Ibrahim berkata kepada Allah, “Ya Allah suara ku tidak sampai.” Allah menyuruh nabi Ibrahim laksanakan sahaja perintah tersebut dan selebihnya berserah kepada Allah. Maka nabi Ibrahim pun melaungkan, “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kalian semua untuk melaksanakan haji ke baitullah ini, supaya kalian mendapat pahala ke syurga dan menyelamatkan kalian daripada seksa neraka”. Sehingga sekarang, tidak henti-henti manusia dari seluruh pelusuk dunia datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

15) Setelah beberapa ujian dan perintah Allah ke atas nabi Ibrahim, datangnya khabar gembira. Pada usia nabi Ibrahim 120 tahun dan isterinya Siti Sarah 90-an, tiga malaikat bertemu dengan nabi Ibrahim membawa berita gembira bahawa Siti Sarah mengandung anak lelaki iaitu nabi Ishak. Siti Sarah terkejut kerana mereka sudah sangat tua dan Siti Sarah seorang wanita yang tidak boleh melahirkan anak.

16) Berita gembira bersambung lagi, bukan itu sahaja, mereka akan hidup dalam masa yang cukup lama untuk melihat anak kepada nabi Ishak iaitu Yaakub. Allah menceritakan didalam Al Quran, nabi Ibrahim melahirkan keturunan para nabi iaitu Ishak, Yaakub, Ayub, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yahya, Isa, Ilyas, Ismail, Ilyasa, Yunus dan Luth. Nabi Muhammad juga daripada keturunan ini. Allah janjikan dua perkara yg akan kekal dalam keluarga nabi Ibrahim iaitu kenabian dan wahyu Allah.

17) Nabi Ibrahim disanjung sebagai nabi oleh pelbagai agama - Islam, Kristian, Yahudi. Semua menghormati ajaran nabi Ibrahim dan namanya disebut dalam semua kitab. Nabi Ibrahim mempunyai darjah kebesaran yang paling besar di kalangan nabi-nabi, selepas kewafatan nabi Muhammad. Impaknya wujud sehingga sekarang.

#RamadahanTales oleh;
Saudari Sharifah Syazreen Al-idrus
 

XOXO Lots of loves -H3H-

0 comments: