1. Pn. Yana Samsudin adalah sebahagian dari penerbit telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang hangat dikritik dan mangsa sikap melatah serta tergesa-gesa menghukum oleh sebahagian masyarakat.
Semasa menonton semalam pun, beliau kelihatan sebak, mungkin mengenangkan tohmahan yang menimpanya.
2. Saya difahamkan bahawa gambar 'panas' yang tersebar seolah-olah adegan percubaan meliwat itu bukan dari pihak produksi, sebaliknya 'tangan ghaib' yang barangkali ada niat tertentu.
Walau siapa pun penyebarnya, gambar tersebut tidak seharusnya disebarkan kerana mengundang persepsi negatif yang tidak menggambarkan babak sebenar, iaitu peristiwa membuli.
3. Mungkin ada yang beranggapan penerbit hanya menggunakan SS Mufti WP sebagai 'benteng' atau 'pelaris' semata.
Suka saya nyatakan, kita seharusnya gembira kerana dengan kehadiran agamawan seperti SS Dr. Zulkifli al-Bakri inilah yang sudi menjadi 'jambatan' di antara agamawan dan dunia hiburan.
Selama ini ramai golongan ustaz yang sering skeptikal dan prejudis dengan insan dari dunia hiburan ini membiarkan mereka terkapai-kapai mencari 'cahaya' di luar sana.
Mungkin kita tak perasan sebab kita hidup dalam kelompok orang warak-warak dan alim-alim di sekeliling.
4. Syukurlah dunia hiburan kita tidak begitu 'bergelora' seperti Hollywood atau negara jiran. Bahkan lebih terkawal berbanding dunia hiburan arab di Timur Tengah.
Setidaknya banyak kisah hijrah artis yang kita dengar, dan banyak ruang untuk artis berhijab dan sentimen yang diraikan, selain banyak cerita-cerita yang penuh pengajaran.
Ya, apapun dunia hiburan ini banyak dugaan dan mudaratnya, namun realitinya ia terus mekar dalam darah ramai manusia hari ini.
5. Di sini terletaknya peranan seorang faqih yang berusaha mengurangkan mudaratnya dengan memberikan pandangan dan bimbingan.
Sudah pasti apa yang sebati dengan masyarakat tidak mampu diubah dalam 1 hari.
Mereka yang mendalami hukum hakam fiqh pasti mendapati kes berperingkat (tadriji) sedemikian.
6. Sebenarnya peranan SS Mufti WP dan kami yang melibatkan diri dalam pembinaan 'jambatan' ini memberikan hasil yang sangat positif sekalipun tidak disedari ramai di luar sana, dari kes filem Polis Evo 2, kemudian drama Isteriku Untuk Disewa, dan kini telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi.
'Jambatan' ini masih baru, masih banyak ruang untuk menjayakannya. Sudah pasti ia masih belum benar-benar mampan.
Namun alhamdulillah ada sumbangan dan cahaya yang sangat positif.
7. Sejujurnya saya atau SS Mufti sendiri jarang nak tengok drama sebegini dengan masa yang sangat terhad.
Banyak nama-nama dunia hiburan yang kami tidak kenal pun.
Namun cerita Demi Tuhan Aku Bersaksi ini saya dapati sangat banyak nilai positif dan pengajarannya dan langsung tidak kelihatan menjatuhkan imej institusi tahfiz. Bahkan tiada pendedahan aurat langsung atau pergaulan bebas seingat saya.
Seandainya masyarakat Malaysia perlu menonton cerita, cerita yang penuh pengajaran sebeginilah yang diperlukan, bukan cerita cinta bunga, kahwin pengarah syarikat atau rapu-rapu bagai.
9. Saya tersentuh apabila merenung sebahagian pengajaran cerita ini, iaitu kadang-kadang kita yang sayang agama, dan yang belajar agama inilah yang membuatkan insan yang diuji di luar sana menjauhi jalan hidayah.
Namun pasti akan ada hamba Allah lain yang mampu 'memimpin tangan' mereka menjadi asbab hidayah.
Seakan kisah Hamid yang dibuang oleh ustaz dan rakannya, namun bertemu Kiyai yang merupakan ustaz kepada ustaznya yang lebih berhikmah untuk membimbingnya sehingga berhasil mengubah.
10. Saya faham jika ada yang tidak bersetuju dengan coretan saya semalam. Ia sekadar ulasan peribadi saya yang telah diberi peluang menontonnya untuk diberi komentar.
Setidak-tidaknya saya telah jalankan peranan saya untuk memberi penerangan dan tidak menghukum sebelum meneliti.
Buat sesiapa yang tidak bersetuju, selepas menonton cerita tersebut, tegurlah saya seandainya saya silap memberikan gambaran atau pandangan.
Moga kita semua diberi tawfiq & hidayah-Nya.
- Dr. Kamilin Jamilin-
XOXO Lots of loves -H3H-
0 comments:
Post a Comment