1. Sebentar tadi baru sahaja berkesempatan dipertontonkan telemovie kontroversi ini bersama SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli al-Bakri (Mufti WP), PU Hafiz (Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor), Ustaz Ahmad Shukri (CEO PPZ MAIWP) dan ustaz Dailami (Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan) yang disertai wakil dari produksi dan RTM.
2. Barangkali akan timbul suara yang menganggap Mufti tidak perlu menyibukkan diri dengan menonton drama atau filem sebegini sebagaimana pada isu Polis Evo 2 sebelum ini.
Suka saya nyatakan, inilah realiti masyarakat kini yang tidak dapat dipisah dari televisyen, dan inilah sebahagian isu-isu semasa (nawazil) yang perlu kita hadapi dan rungkaikan.
Bukan bererti kita menyokong industri hiburan yang sering melekakan, namun ini sebahagian usaha ‘meluruskan’ dan mengurangkan mudaratnya pada tahap minimum.
Setidak-tidaknya pandangan institusi Mufti masih dihormati untuk dijadikan panduan dan rujukan.
Bak sabda seorang Nabi yang difirmankan Allah:
إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَـٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ
“Aku hanya bertujuan memperbaiki sedaya upayaku” [Hud: 88].
3. Saya juga seorang pengusaha tahfiz, dan saya juga bekas pelajar tahfiz yang pernah berpindah randah 4 buah institusi tahfiz sebelum ini.
Justeru jangan kata saya tiada sensitiviti. Alhamdulillah saya memiliki pengalaman suka duka yang agak lama dalam dunia tahfiz.
Namun kami sengaja tidak mengulasnya tatkala isu ini sedang ‘panas’ baru-baru ini, kerana bukan sikap kami untuk tergesa-gesa menghukum sebelum menyelidik, atau menghukum dengan persepsi semata.
4. Berkenaan ulasan terhadap telemovie tersebut, berikut merupakan pandangan peribadi saya:
Rumusan kisah:
a. Cerita ini mengisahkan tentang seorang mak nyah (Hamid) yang berusaha bertaubat dan mencari jalan hidayah. Hamid direkemen sahabatnya untuk belajar di sebuah pondok di kampungnya setelah dihalau oleh ayahnya sendiri yang tidak dapat menerima kenyataan anaknya merupakan seorang mak nyah.
b. Hamid berusaha mengubah dirinya dengan mencuba nasib belajar di pondok tersebut. Namun kehadirannya tidak disenangi 3 pelajar di situ yang diketuai Latif yang sering memerlinya dan bersikap sedikit samseng.
Hamid menjadi mangsa buli Latif dan rakan-rakannya, kemudian difitnah sehingga menyebabkannya dihalau oleh ustaznya.
Sahabat baiknya Airil yang sering mempertahankannya juga turut menjadi mangsa fitnah tersebut dan pulang ke rumahnya mencari pekerjaan sebelum diberitakan meninggal ketika sedang solat.
c. Ketika Hamid hampir-hampir kecewa sehingga hampir mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur bertemu komunitinya menjadi mak nyah semula, beliau dinasihatkan seseorang untuk cuba bertemu Kiyai Mustafa (ustaz kepada ustaz yang menghalaunya). Beliau berusaha mendapatkan peluang kedua.
Di rumah Kiyai tersebut, Hamid dibimbing dengan penuh ikhlas oleh Kiyai sehingga akhirnya beliau mampu konsisten walaupun lenggak lenggok masih kelihatan lembut.
Kiyai kemudian menasihatkan Hamid untuk pulang bertemu ayahnya yang lumpuh akibat strok.
d. Babak seterusnya agak sedih melihat ayahnya sangat menyesal kerana membuang Hamid dahulu dan hanya mampu menangis teresak-esak mendengar Hamid yang sudah pandai mengaji membacakan al-Quran di sisinya sehingga tiba-tiba ayah Hamid nazak dan menemui ajalnya, namun sempat diajar bersyahadah oleh Hamid sendiri.
Hamid diperli orang kampungnya dan abang kandungnya sendiri yang menjauhinya serta menggelarnya “pondan” sehingga mengganggu emosi dirinya.
e. Hamid dengan bantuan Kiyai kemudiannya didatangi ustaz yang menghalaunya dahulu yang sedar akan kesilapannya lalu meminta maaf bersungguh-sungguh.
Namun ketika menziarahi pondok lamanya, beliau diganggu semula oleh Latif yang mendakwa kehadiran Hamid telah mengganggu dirinya untuk berubah. Rupanya Latif sememangnya berkecenderungan gay yang juga sedang berusaha mengubah dirinya di pondok tersebut, namun hampir kecundang kerana kehadiran lelaki lembut seperti Hamid.
Sebelum sempat Latif melakukan apa-apa, Kiyai dan ustaz tiba lalu menamparnya. Hamid cuba membelanya dan memberikan peluang untuk Latif berubah.
Akhirnya Latif benar-benar insaf dan berterima kasih pada Hamid yang sentiasa memaafkannya dan memberi galakan pada dirinya untuk berubah.
-Tamat-
5. Saya mendapati pada telemovie tersebut tiada elemen mengangkat LGBT, bahkan tiada aksi liwat seperti yang disangka ramai pihak.
Yang wujud cuma perjuangan anak muda yang berkecenderungan songsang untuk berubah di sebalik gelojak dalaman dan cabaran luaran yang begitu dahsyat.
Gambar yang disangka seolah-olah Hamid cuba diliwat oleh Latif itu sebenarnya hanya babak buli di mana Latif menyakat Hamid yang mandi berkemban seperti perempuan. Tiada aksi buli melampau yang kelihatan.
Hanya sekali di akhir cerita yang Latif hampir kecundang cuba menerkam Hamid, namun digagalkan oleh ustaz yang tiba-tiba datang.
6. Dua sahaja watak wanita dalam cerita ini, iaitu ibu Hamid dan sahabatnya. Itupun sangat minimum. Keduanya tidak mendedahkan aurat dan tiada babak cinta atau pergaulan bebas seperti kebiasaan cerita.
7. Mengapa perlu ditonjolkan unsur negatif pada instusi tahfiz?
Bagi saya yang telah menonton cerita ini, saya tidak merasakan sentimen tersebut, kerana nilai pengajaran yang jauh lebih dominan.
Babak Hamid berada di pondok tahfiznya hanya pada awal cerita ketika menggambarkan situasi Hamid yang berusaha mencari ruang buat dirinya bertaubat.
Saya tidak melihat ada unsur ‘serangan’ pada institusi tahfiz. Buli memang wujud pada mana-mana tempat yang masih ‘melekat’ budaya ‘raging’ pelajar baru.
Saya kira ramai bersepsi sedemikian kerana gambar berserban seperti kes Polis Evo 2 sebelum ini.
8. Cerita ini sebenarnya memiliki banyak nilai positif (sama seperti drama-drama berunsurkan pengajaran lain), antaranya:
a. Penekanan menjaga hubungan sesama manusia selain hubungan dengan Allah.
Iaitu ramai yang fokus untuk mempertingkatkan ilmu dan ibadah sedangkan pada masa yang sama sering menyakiti manusia lain.
b. Bahana fitnah dan tergesa-gesa menghukum sebelum ber’tabayyun’.
Iaitu pada babak ustaz yang mudah bersangka buruk kerana perangkap sebuah gambar yang disalah fahami, lalu bertindak menghalau Hamid dan sahabatnya Airil.
c. Kepentingan berlaku adil dengan memberi ruang pihak tertuduh membela diri.
Iaitu Hamid menjadi mangsa perangkap namun tidak diberi peluang bercakap kerana persepsi seorang bekas mak nyah sepertinya masih ‘kotor’.
d. Ilmu tanpa amal banyak mendatangkan mudarat.
Iaitu Latif dan rakan-rakannya yang telah bertahun belajar, namun masih tidak mampu membendung hasad, dan sikap buruknya menyakiti orang lain.
e. Orang yang belajar agama pun boleh melakukan kesilapan.
Iaitu melalui kesilapan ustaz yang tersilap menghukum Hamid hanya kerana dakwaan dan persepsi.
f. Sikap terpuji mengaku kesilapan diri dan pemaaf.
Iaitu pada babak ustaz tersebut dan juga Latif yang insaf dan memohon kemaafan, lalu dimaafkan Hamid dengan tangan terbuka.
g. Berbakti pada kedua ibu-bapa yang bukan mudah dilakukan.
Iaitu Hamid yang cuba menggembirakan ibu ayahnya dengan usahanya mengubah diri mencari jalan hidayah. Beliau perlu berperang dengan nalurinya untuk berubah sehingga akhirnya berjaya menggembirakan ayahnya di hujung usia.
h. Hindari penyakit masyarakat yang gemar mengata dan menjauhi sehingga membantutkan hasrat mangsa kemelut untuk berubah ke arah yang positif.
9. Terdapat 2 pengajaran paling besar yang saya rasakan dalam cerita ini:
Pertama: Jangan sesekali mengalah untuk berubah. Ia bukan mudah kerana perlu melawan naluri, emosi, nafsu diri yang sering membuat manusia rebah.
Kedua: Golongan agamawan jangan sesekali mengabaikan golongan sebegini yang sedang berusaha mencari jalan hidayah.
Barangkali kerana sikap dan lisan kita, mereka menjauhkan diri kekal dalam kegelapan.
Fahami kemelut dahsyat yang mereka sedang hadapi, dan insyaAllah melalui bimbingan yang baik, mereka akan berjaya mengatasinya.
-Dr. Kamilin Jamilin-
XOXO Lots of loves -H3H-
0 comments:
Post a Comment