Nur Kasih The Movie


Aku tak pandai nk buat ulasan filem Nur Kasih ni. Crita ni mmg bole mengalirkan air mata org2 yg dlm hati ada taman.

Part yg paling sedih, bila mak Adam&Aidil menangis bila Adam tengah tenat. As a mom, mmg tersentuh. As a wife aku mmg tersentuh dengan ketabahan Nur bersama Adam di saat2 Adam amat memerlukan.

Walopun crita dia dlm filem agak pening dan sikit kelam kabut...aku rasa amat tersentuh dgn filem ni.

Review dr Mstar...aku kopipes kat bawah ja.





 
Tiga tunggak utama Nur Kasih The Movie, (dari kiri) Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz pada sesi pratonton media, baru-baru ini.
JIKA pengarah filem Kabir Bhatia mampu mengubahsuai beberapa elemen keterlaluan yang tidak perlu dimuatkan, tentu filem yang paling dinantikan Nur Kasih The Movie (NKTM) ini akan jadi filem malar hijau.
Lupakan saja elemen drama 'cinta agung' Adam pada Nur Amina, babak kemalangan kereta api dan mimpi ngeri, tentu filem ini mampu jadi lebih baik.

Sayangnya, filem ini dicelarukan oleh paparan elemen drama yang keterlaluan. Impaknya, NKTM menjadi sebuah naskhah yang hanya layak dipanggil sebuah kompilasi drama-drama Nur Kasih yang sepatutnya diangkat sebagai karya hebat di layar lebar.

Andai menerusi dua filem cinta sebelum ini iaitu Cinta (2006) dan Sepi (2008), gandingan Kabir bersama isterinya Mira Mustafa selaku penulis skrip mampu menyentuh jiwa tetapi kurang berkesan untuk kali ini.
Memang NKTM punya mesej yang baik dan diwarnai penyampaian yang menghiburkan, cuma ia disulami elemen dramatik yang keterlaluan.

Adalah mengecewakan apabila persembahan bermutu Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah dan Liza Othman dicemari kecelaruan plot filem ini.

Mungkin lakonan Remy hanya pada tahap sederhana berbanding Fizz dan Tiz tetapi secara keseluruhannya semua pendukung filem ini telah menepati standard yang diharapkan.
 
Cinta Adam lakonan Remy Ishak dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) terus diuji dalam filem ini.
Begitu juga lakonan tiga pelakon muda yang menggalas watak remaja bermasalah iaitu Syafie Naswip, Sara Ali dan Muniff Isa.

Babak pergaduhan di dalam terowong antara tiga pelakon ini dengan Aidil (Fizz Fairuz) adalah antara paparan terbaik yang mengagumkan. Mereka dilihat cukup bijak mencuri ruang yang lazimnya didominasi oleh Remy, Tiz dan Fizz.

Seperti yang dijelaskan, momentum filem ini tidak konsisten dan penuh pasang surutnya. Bahkan, NKTM juga berakhir dalam kehambaran.

Mujurlah, gestur dan permainan emosi aktres veteran Afida Es sebagai Nur Amina versi tua di penghujung filem banyak menyelamatkan keadaan.

Dua aspek teknikal yang lemah adalah imej janaan berkomputer (CGI) yang kasar dan tidak realistik pada babak-babak kemalangan dan letupan dan solekan pada wajah para pelakon terutamanya Remy Ishak.

Entah kenapa, solekan Remy kelihatan tebal dan tidak sekata membuatkan aktor hitam manis itu tampak putih melepak dan pelik.Kalau sudah namanya filem Kabir, aspek sinematografi adalah sesuatu yang begitu dinantikan.

 
Fizz Fairuz mempamerkan lakonan yang lebih matang dan meyakinkan sebagai Aidil.
Untuk kali ini, syot-syot yang diberikan memang cantik dan menarik. Pun begitu, jika diamati kebanyakan syot dalam filem ini bukanlah sesegar mana pun.

Bagi yang mengikuti pelbagai filem mahupun drama-drama arahannya, pasti dapat menghidu stail syot yang lebih kurang sama diguna pakai kali ini.

Babak montaj Nur Amina dan Adam bergurau senda tika dilatari lagu Aizat iaitu Lagu Kita segera mengingatkan kita pada babak kejar-mengejar dalam filem Sepi (2008) antara Adam lakonan Afdlin Shauki dan Ilyana (Vanidah Imran).

Bagaimanapun, masih banyak syot yang mengasyikkan. Adegan Nur Amina (Tiz Zaqyah) menangis di jendela selepas mengalami keguguran umpamanya, adalah antara syot terbaik yang punya jiwa.

Sememangnya kunjungan warga kerja NKTM ke Jordan tidak sia-sia. Syot dan panorama di bumi itu kelihatan memukau pada skrin, sekali gus menambahkan mood romantis filem ini.

Dalam pada Kabir dan Mira cuba membuai penonton dengan paparan dan dialog puitis, filem ini juga dilihat tajam pada sindirannya.

Antara yang paling menarik tentunya babak yang melibatkan seorang ustaz lakonan Beto Khusairy yang bersikap prejudis terhadap golongan anak muda yang compang-camping pada penampilan.

 
Tiz Zaqyah menterjemahkan emosi dan jiwa Nur Amina dengan baik dan berkesan.
Sejujurnya, tahap kepuasan menonton filem ini tidaklah sebesar jangkaan awal. Malah, tidak keterlaluan jika melabelkan plot drama bersiri yang menjadi fenomena dengan rating keseluruhan hampir 18 juta penonton ketika disiarkan di TV3 tidak lama dulu jauh lebih baik daripada versi filem.

Kita memahami kesuntukan masa dan keterbatasan ruang yang perlu dikompromi oleh Kabir untuk versi layar lebar ini. Namun, pengarah dari Mumbai, India ini sewajarnya lebih arif untuk menyusun NKTM agar sekurang-kurangnya tidak menjadi sebuah filem yang lemah.

NKTM yang berkisar pada kehidupan watak Aidil (Fizz Fairuz), Adam (Remy Ishak) dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) selepas tujuh tahun daripada siri televisyen itu masih lagi memaparkan pelbagai ujian dan dugaan yang silih-berganti dalam hidup mereka bertiga.

Aidil yang kematian isterinya kini mengharungi hidup sebagai bapa tunggal untuk membesarkan dua anaknya, selain cuba membantu ujian dalam rumah tangga Adam dan Nur Amina.

Adam dan Nur Amina yang kian bahagia terus diuji dengan masalah keguguran Nur Amina dan penyakit Adam yang mengancam nyawanya.

 
Panorama indah bumi Jordan yang melatari percutian Adam dan Nur Amina membangkitkan lagi mood romantis dalam filem ini. 
FILEM: Nur Kasih The Movie
ARAHAN: Kabir Bhatia
LAKONAN: Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz, Liza Othman, Muniff Isa, Sara Ali, Syafie Naswip
GENRE: Drama
DURASI: 1 jam 30 minit
EDARAN: Grand Brilliance
TAYANGAN: Bermula 19 Mei 2011

0 comments: