SERANGAN PENGGANAS DI MASJID AL-NOUR & MASJID LENWOOD, NEW ZEALAND: Part 7

TARRANT TEROR DAN PERMAINAN TALIAN YANG GANAS DI CHRISTCHURCH DI ERA IR4.0

Tarikh 15 Mac 2019 akan diingati sebagai hari yang menggabungkan ramuan kekejaman dan keganasan dengan kebencian supremasi kulit putih dan teknologi dalam talian, latihan permainan talian yang ganas seperti “fortnite” dan media sosial.

Teknologi Maklumat sepatutnya membantu manusia menjadi lebih efektif dan efisyen dalam kerja harian dan juga pergaulan dalam masyarakat. Teknologi Maklumat boleh digunakan untuk menyebarkan kasih sayang dan saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Malangnya Brenton Tarrant seorang yang berfahaman supremasi kulit putih dengan bangganya memakai kamera “GoPro” dan telah mewar warkan dalam forum 8chan yang beliau akan buat lintas langsung acara besar dalam mukabuku (Facebook).

Lintas langsung dalam akaun Brenton.Tarant.9 sepanjang 17 minit tidak pernah dilakukan begitu kejam dalam media sosial di era IR4.0. Dengan kata kata “Let’s get this party started” beliau memulakan perbuatan yang keji lagi hina. Senjata api penuh dengan nama-nama yang membenci kerajaan Othmaniah. Diiringi lagu yang menyanjung Radovan Karadzic Tarrant Teror melakukan kekejaman dan keganasan

Beliau merancang supaya dunia membenci Islam tetapi dengan kejadian tersebut timbul kasih sayang pada Umat Islam. Dengan melakukan lintas langsung dengan kononnya ia memberi impak yang besar kebencian pada Umat Islam dalam media sosial dan menyeru orang lain melanggan saluran YouTube PewDiePie. Sebaliknya kasih sayang dan perasaan ingin tahu lebih meningkat pada Islam dan Umatnya.

Dalam surah Aal e-Imran ayat 54 “Dan orang orang itupun merancangkan tipu daya dan ALLAH pula membalas tipu daya mereka; dan ingatlah ALLAH sebijak bijak yang membalas tipu daya.

Selain didoktrinasikan oleh supremasi kulit putih dan kebencian kepada Islam Brenton Tarant juga dengan bangganya dalam 74 mukasurat Manifesto Kebencian dalam bahagian soal jawab mengaku yang beliau belajar keganasan (“violence dan extremism”) daripada permainan video. Beliau menjelaskan lagi yang beliau belajar menjadi pembunuh dan “floss on the corpes of my enemies” daripada “Fortnite” permainan dalam talian yang popular.

Walaupun kemudiannya mengatakan tidak tetapi Prof Mary A, Franks dari University Miami mencadangkan yang pemerhatian yang menyeluruh kepada platform sosial selepas serangan dan manifesto Tarrant. Prof Mary A. Franks seterusnya menjelaskan yang Tarrant melakukan perbuatan radikal dalam talian.

Ibrah yang perlu kita ambil di Malaysia adalah kita perlu menilai dan mengkaji segala Permainan Ganas dalam Talian (Online Game) atau Sukan Elektronik (E-Sports).
Kita tidak boleh ambil apa yang dikatakan popular seperti Permainan Ganas dalam Talian atau (Violence E-Sports) terus diperkenalkan di Malaysia.

Usaha DNA23 (Digital Native Agenda 23) oleh Dato Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diterjemahkan sebagai Agenda Negara yang bersifat dan berteraskan nilai murni rakyat Malaysia.

Kesan negatif daripada permainan ganas dalam talian seperti Fortnite telah dirasai di Negara Barat, malah ada seorang ibu di UK di siaran TV mengatakan beliau hilang anaknya kepada Fortnite. Pakar Kelakuan Ketagihan Lorraine Marer memberitahu Bloomberg yang “This game is like heroin. Once you are hooked, it’s hard to get unhooked”. Dalam kata lain Fortnite seperti dadah jika sudah ketagih susah untuk melepaskannya.

Saranan Mufti Negeri Sembilan supaya Permainan Ganas dalam Talian seperti PUBG (Player Unknown Battle Ground) diharamkan perlu diambil perhatian.
Negeri Gujurat di India telah mengharamkan permainan dalam talian PUBG. Menurut akhbar The Verge, 10 orang sudah ditahan kerana bermain PUBG.

Walaupun Menteri Belia dan Sukan menolak kaitan PUBG dengan kejadian di Christchurch. Perbincangan dan pernyelidikan mengenai pengaruh permainan ganas dalam talian dan kesan kelakuan kepada pemainnya perlu dijalankan.

Dalam Maqasid Syariah terdapat 5 prinsip 1) memelihara agama 2) memelihara kehidupan 3) memelihara akal dan intelektual 4) memelihara keturunan dan maruah 5) memelihara harta dan ekonomi.

Imam As-Shatibi, Ulama Maqasid Syariah mengatakan Maqasid Syariah boleh dipakai pada pelbagai agama dan pelbagai bangsa. Saya menambah Maqasid Syariah boleh dipakai pada setiap masa dan pelbagai teknologi.
Persoalannya adakah Permainan dalam Talian boleh mengikut prinsip Maqasid Syariah? Adakah permainan Fortnite boleh memelihara agama dan kehidupan? Adakah permainan PUBG dapat memelihara akal dan harta?

Brenton Tarrant mungkin merasakan telah menjadi Hero Supremasi Kulit Putih dengan menamatkan riwayat 49 orang Islam di New Zealand dengan senjata yang padat ditulis dengan nama idola supremasi kulit putih. Sebenarnya beliau hanya menyebabkan mereka terus hidup selamanya.

Yakinlah Islam semakin disayangi dengan ucapan aluan “Hello Brother” kepada seluruh Umat Manusia. Ternyata Islam adalah Rahmatan lil Alamin. Pihak berwajib juga perlu memastikan Agenda Digital Native 23 Negara mempunyai nilai kemanusiaan yang merealisasikan Rahmatan lil Alamin.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang orang yang terbunuh pada jalan ALLAH itu mati, bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”

(surah Aal e-Imran ayat 169)

PROF. MOHAMAD FAUZAN NOORDIN PhD
Ketua Kluster Penyelidikan ICT dan Islam, Kulliyah ICT, UIAM
AJK Pusat Wadah Kecerdasan Umat (WADAH)
10 Rejab 1440 bersamaan 17 Mac 2019.

XOXO Lots of loves -H3H-

0 comments: