[10/25] - Nabi Yaakub & Yusuf ‘Alaihissalam (Bahagian 1)



Did you know?

1) Allah menceritakan tentang kisah nabi Yaakub dan nabi Yusuf kepada nabi Muhammad dalam surah Yusuf.

2) Isteri pertama nabi Yaakub telah melahirkan 10 orang anak lelaki dan isteri keduanya melahirkan 2 lagi anak lelaki iaitu Yusuf dan Binyamin. Nabi Yaakub dikurniakan mukjizat boleh mentafsir mimpi. Satu-satunya anak yang mempunyai kebolehan mentafsir mimpi sepertinya ialah anak kesayangannya, nabi Yusuf. Nabi Yaakub tahu bahawa Yusuf akan menjadi seorang yang sangat istimewa maka dia memberi Yusuf lebih perhatian berbanding anak-anaknya yang lain.

3) Ketika Yusuf masih kecil, dia telah bermimpi matahari, bulan dan 11 bintang sujud kepadanya. Baginda bangun dan terus mencari bapanya. Dia tidak faham apakah maksud mimpi tersebut. Nabi Yaakub berpesan kepadanya, jangan menceritakan kepada abang-abangnya yang lain kerana khuatir mereka akan cemburu dan mengapa-apakan Yusuf. 10 orang abangnya memang telah lama cemburukan nabi Yusuf kerana Nabi Yaakub melebihkan nabi Yusuf - Rujuk al-Quran (12:8). Oleh kerana ketika itu Yusuf kecil lagi, baginda pun menceritakan kepada abang-abangnya tentang mimpinya. Mereka tertawakan nabi Yusuf dan pada masa yang sama semakin cemburukan nabi Yusuf. Oleh itu, mereka membuat perancangan untuk membunuh nabi Yusuf dan selepas itu bertaubat semula - Rujuk al-Quran (12:9)

4) Nabi Yaakub sentiasa mengawasi Yusuf dan tidak pernah melepaskan nabi Yusuf untuk bermain dengan abang-abangnya. Apabila abang-abangnya meminta izin untuk membawa Yusuf bermain bersama-sama, nabi Yaakub tidak mengizinkan kerana risau mereka akan leka dan serigala akan memakan nabi Yusuf. Abang-abangnya berjanji akan menjaga Yusuf kerana mereka sayangkan adik mereka itu. Nabi Yaakub pun memberi keizinan. Kemudian mereka membawa Yusuf ke suatu tempat yang jauh daripada bapa mereka.

5) Dalam perjalanan, mereka membuli dan menolak Yusuf. Sampai ke suatu tempat yang sesuai untuk membunuh adik mereka itu, salah seorang daripada mereka memberi idea untuk menghumbankan sahaja Yusuf ke dalam perigi yang berada di situ dan menutup perigi tersebut. Pasti akan ada orang yang lalu dan mengambil nabi Yusuf - Rujuk Quran (12:10). Oleh kerana mereka rasakan membunuh itu terlalu kejam, mereka pun bersetuju. Mereka membuka pakaian nabi Yusuf dan menolak baginda jatuh ke dalam perigi yang gelap itu. Kemudian mereka kotorkan baju Yusuf dengan cecair warna merah seakan darah.

6) 10 beradik itu pun pulang kepada bapa mereka sambil menangis dan berkata Yusuf sudah mati ditelan serigala. Alasannya, mereka terleka bermain dan berlari sehingga tidak sedar bahawa adik mereka telah hilang dimakan serigala. Kemudian mereka menunjukkan baju nabi Yusuf yang berlumuran darah kepada bapa mereka. Sebagai orang tua yang bijak pandai, nabi Yaakub tahu bahawa itu semua tidak benar. Jika benar serigala memakan anaknya, mengapa baju nabi Yusuf tidak berkoyak? Nabi Yaakub sangat kecewa dengan anak-anaknya dan baginda menjadi sangat sedih kerana kehilangan anak kesayangannya. Sedihnya berpanjangan sehingga berdekad lamanya.

7) Sementara itu, sekumpulan pengembara telah datang ke perigi tadi untuk mencari air. Apabila mereka menaikkan gayung, mereka mendapati bukanlah air tetapi seorang budak yang cantik rupanya. Mereka membawa budak itu dari Palestin ke Mesir dan menjualnya di pasar dengan harga yang murah.

8 ) Walaupun dijual dengan harga yang murah, dengan kuasa Allah, menteri kewangan Mesir yang bergelar Al-Aziz (org paling berkuasa selepas raja Mesir) telah ditakdirkan pergi ke pasar tersebut dan membeli nabi Yusuf untuk dijadikan hamba di istananya. Al-Aziz tidak ada anak dan apabila melihat nabi Yusuf, beliau teringin membelanya bersama isterinya di istana. Maka Yusuf membesar di istana menteri tersebut. Al-Aziz sayang dan percaya kepada nabi Yusuf seperti anaknya sendiri. Beliau telah mengajar nabi Yusuf ilmu pengurusan kewangan dan baginda diamanahkan untuk melakukan tugasan yang penting.

9) Apabila nabi Yusuf semakin dewasa, baginda menjadi seorang pemuda yang bijak, beriman dan yang paling menonjol, rupanya yang terlalu tampan. Sebuah hadis ada menceritakan nabi Muhammad telah bertemu dengan nabi Yusuf ketika Isra’ Mi’raj dan baginda menggambarkan kecantikan yang ada pada nabi Yusuf sebagai separuh kecantikan daripada seluruh dunia.

10) Satu hari, ketika Al-Aziz tiada di istana, isterinya yang cantik bernama Zulaikha telah memanggil Yusuf masuk ke sebuah bilik. Zulaikha mengunci semua pintu dan tingkap dalam bilik tersebut dan membuka pakaiannya kemudian memanggil nabi Yusuf merapatinya. Nabi Yusuf menolak dan berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya Allah sedang melihat.” - Rujuk al-Quran (12:24). Zulaikha ditenggelami hawa nafsu dan mula mengejar nabi Yusuf. Bermulalah adegan kejar-mengejar di mana Zulaikha telah mengoyakkan bahagian belakang baju nabi Yusuf. Apabila Al-Aziz pulang ke istananya, beliau terdengar bunyi bising dari dalam bilik dan hamba-hamba di istana pun mula berkumpul. Beliau membuka pintu dan terlihatlah adegan kejar mengejar itu. Zulaikha terus menutup badannya dan menuduh Yusuf telah cuba memperkosanya dan baginda patut dipenjarakan - Rujuk al-Quran (12:25).

11) Nabi Yusuf berkata, “Tidak! Dia yang cuba menggodaku!” Kemudian salah seorang ahli keluarga Al-Aziz yang juga telah menyaksikan adegan kejar-mengejar tadi berkata, “Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian hadapan, Zulaikha berkata benar. Sekiranya baju Yusuf koyak di bahagian belakang, Zulaikha berbohong.” Dan didapati baju nabi Yusuf koyak di bahagian belakang - Rujuk al-Quran (12:27-28). Al-Aziz kecewa dengan isterinya namun tindakan yang diambil hanyalah dengan menyuruh Zulaikha bertaubat dan meminta Yusuf untuk melupakan apa yang telah terjadi dan memintanya untuk tidak menceritakan kepada sesiapa.

12) Khabar angin mengenai Zulaikha menodai hamba istana tersebar dengan pantas. Sebagai wanita yang berstatus tinggi, Zulaikha tidak boleh membiarkan orang lain bercerita mengenai dirinya. Dia menjemput wanita di seluruh kota Mesir untuk datang ke majlis makan di istananya. Mereka dihidangkan dengan buah-buahan dan pisau buah. Apabila para tetamu telah mula memotong buah, Zulaikha memanggil nabi Yusuf untuk datang mengadap. Apabila nabi Yusuf masuk ke dewan makan, mereka semua terpegun dengan ketampanan nabi Yusuf sehingga lupa segala yang sedang berlaku dan tidak sedar bahawa mereka sedang memotong jari mereka sendiri. Kemudian mereka berkata, “Ya Tuhan! Lelaki ini bukanlah manusia, dia seorang malaikat!” - Rujuk al-Quran (12:31).

13) Zulaikha terus mentertawakan tetamunya dan berkata, “Inilah orangnya yang telah membuat kamu semua mengutukku. Sekarang lihat diri kamu sendiri! Kamu juga tertarik dengannya. Ya, aku telah menodainya dan dia telah menolak. Sekiranya dia menolak ajakan aku lagi, akanku humbannya di dalam penjara.” - Rujuk al-Quran (12:32). Tetamunya tadi pun menyuruh nabi Yusuf untuk menerima Zulaikha. Yusuf berdoa, “Ya Allah, aku lebih sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat seperti yang diajak wanita ini” - Rujuk al-Quran (12:33).

Akan bersambung..

#RamadahanTales oleh;
Saudari Sharifah Syazreen Al-idrus



https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus
 

XOXO Lots of loves -H3H-

0 comments: