Rem Dambul
is in
Sabah
.
Veveonah Mosibin
, pelajar UMS yang panjat pokok untuk ambil exam online, mencetuskan fenomena sensasi yang membuai satu Malaysia, juga merentas global.
Ini kepintaran bitara seorang content creator. Dengan hanya satu video berdurasi kurang 12 minit; dia menyampaikan dua cerita penting yang selalu dipinggirkan dalam naratif arus perdana.
Pertama, cerita tersembunyi anak-anak Borneo yang kaya bakat dan ilham. Tetapi selalu bergelut dengan segala keterbatasan, nun terpencil di pedalaman.
Kedua, cerita sadis tentang kemiskinan digital yang masih mengakarumbi di serata ceruk negara. Meski pun era IR4.0 sudah bertahun-tahun didendang sana dan sini.
Dengan kuasa media sosial, Veveonah mencipta naratif alternatif yang begitu asli dan menusuk. Kerana dia melakukannya dengan cara yang sangat jujur dan terhormat.
Dia sekadar berkongsi pengalaman, bukan merintih-rintih minta simpati. Dia cuma menggambarkan situasi, bukan marah-marah menyalahkan sesiapa.
Sebab itu naratif marginal Veveonah dapat menguja bermacam sentimen ke level kayangan. Ada yang terinspirasi dan termotivasi. Ada yang terhiris dan terharu. Ada juga yang sentap dan meloncat tak cukup tanah.
Veveonah mendapat tawaran biasiswa dari pelbagai penaja, termasuk UMS sendiri. Dia turut dikejar tawaran kerja oleh beberapa syarikat gergasi, padahal dia masih pelajar Asasi.
Tapi ada juga yang kurang senang sebab kisah Veveonah meletup. Konon dia diidolakan secara berlebihan. Konon perhatian-perhatian itu terlalu over. Mereka berhujah, ada ramai lagi yang berdepan cabaran lebih getir dan sukar.
Mereka ini tidak hadam dan faham. Sanjungan pada Veveonah bukan sebab dia tekun panjat pokok. Bukan sebab dia tinggal di luar bandar. Bukan sebab keluarganya susah. Bukan juga hanya atas sebab dia pelajar cemerlang.
Dia diberi penghargaan sebab berjaya merungkai makna sebenar sistem pendidikan. Melahirkan seorang manusia yang reti mencari penyelesaian masalah. Seorang yang terdidik dengan isu kehidupan, bukan hanya terpelajar dengan isi kurikulum.
Mesej klise yang Veveonah mahu sampaikan sebenarnya hanya biasa-biasa: “hendak seribu daya, tak hendak sejuta dalih.” Tapi dia perbaharui seni penyampaian: dengan gaya inovatif, kreatif, segar dan menyentuh.
Tidak perlu iri hati. Semua pelajar boleh menjadi “seorang Veveonah” dengan cara tersendiri. Tidak semestinya kena meredah bukit dan memanjat pokok. Yang diperlukan, cuma mencerna karektor dan karisma sumandak cilik ini.
Bagaimana? Bila berdepan masalah, jangan bertungkus lumus mencipta alasan. Jangan gigih mencemuh sistem, menyalahkan alam sekitar dan mengecam pihak-pihak lain. Carilah jalan penyelesaian.
Ini tidak. Bila lewat masuk exam, salahkan hujan. Habis, kamu mau suruh pensyarah jampi langit agar tidak menitiskan hujan sepanjang minggu peperiksaan? Dunia ini belum lagi kepupusan payung, dik. Carilah satu. Kalau diri sendiri tiada, pinjam dari kawan-kawan yang berbondong ramai di asrama.
Apa guna berkomuniti, jika tidak belajar bersahabat? Tujuan paling sejagat pendidikan — untuk menginsankan manusia. Bukan menghaiwankan diri — supaya boleh hidup sebagai kera sumbang abadi.
Ponteng kelas, sebab bas lambat datang. Jalan kaki tidak boleh? Macamlah jarak kolej kediaman dan dewan kuliah itu seperti Timbaktu dan Ethiopia. Sampai terpaksa merentas gurun tandus dan Sungai Nil.
Hmm, ntahlah.
XOXO Lots of loves -H3H-
0 comments:
Post a Comment