#kopipes from fb... Tapi x sempat copy link asal post ni.
APA 'MASALAH' ANAK INI?
Seorang rakan Parent Connect meminta pendapat saya tentang insiden yang berlaku di Kelantan ini. Saya lihat sudah banyak pendapat yang diberikan oleh netizen tentang hal ini yang rata-ratanya membincangkan tentang penggunaan gajet. Yang tidak sedap didengar, anak ini juga dilabelkan sebagai DEGIL kerana tidak mempedulikan arahan ibunya dan juga memekakkan telinga walaupun keadaan di sekelilingnya begitu huru hara risaukannya.
Saya mengenali ramai kanak-kanak yang mempunyai sifat sebegini.
Saya tidak gemar melabelkan mereka sebagai degil kerana ia membawa konotasi yang sangat negatif. Label yang negatif tidak membantu anak untuk menjadi lebih baik dan ia juga tidak membantu ayah dan ibu untuk melihat sisi positif yang ada pada anak.
Bagi saya anak ini memiliki ciri-ciri seorang anak yang mempunyai KEAZAMAN YANG TINGGI, ‘DETERMINED’ ataupun ‘SPIRITED’ child.
Jika dia mahukan sesuatu, dia akan berusaha mendapatkannya dan sanggup mengharungi segala rintangan yang perlu dilaluinya.
Cuba ulang baca,
"Jika dia mahukan sesuatu, dia akan berusaha mendapatkannya dan sanggup mengharungi segala halangan yang perlu dilaluinya.”
Ini satu sifat yang positif bukan?
Jika anak yang berkeazaman tinggi ini sedang asyik bermain dengan mainan binaan ataupun ‘lego’ dan anda memintanya berhenti sebelum dia siapkan ‘projek’nya, dia akan merungut ataupun mungkin mengamuk hendak siapkan terlebih dahulu.
Anak yang diceritakan dalam hantaran FB ini mahu menggunakan telefon bimbit. Itulah keazamannya.
Walaupun dihalang oleh ibunya, dia tetap mahu mendapatkannya malah mengunci dirinya dalam kereta supaya telefon tidak diambil oleh ibunya. Begitulah betapa tinggi keazamannya.
Bukan sahaja dia mahukan telefon itu, dia juga mahu menggunakannya tanpa gangguan. Oleh sebab itulah huru-hara di sekitarnya langsung tidak diendahkannya.
Walau bagaimanapun sisi negatif yang tidak diketahuinya adalah, dia membahayakan dirinya sendiri.
Bayangkan jika anak yang mempunyai keazaman yang tinggi ini bercita-cita menjadi seorang pemain bolasepak profesional bersama kelab bolasepak Eropah satu hari nanti.
Ataupun mempunyai keazaman untuk menjadi juruterbang jet pejuang satu hari nanti.
Ataupun berazam untuk menjadi pencetus inovasi seperti Elon Musk ataupun Bill Gates.
Dengan ‘kedegilan’ yang dimiliki, tiada apa yang dapat menghalang mereka.
Bayangkan.
Anak-anak yang berkeazaman tinggi ini juga suka meneroka, sukakan aktiviti yang memerlukan banyak pergerakan, mempunyai objektif yang jelas , berdikari, pantas, cergas, mempunyai pemikiran atau ‘akal’ nya yang tersendiri, cepat bosan, suka mengambil risiko dan suka memikul tanggungjawab.
Cuba anda kaitkan ciri-ciri ini dengan anak yang mengambil telefon bimbit ibunya. Ada perkaitan bukan?
"Habis tu takkan nak biarkan saja anak berperangai sebegini?"
TIDAK.
Anak kecil itu berperangai begitu kerana dia IMPALSIF.
Semua anak kecil memiliki sifat impalsif iaitu melakukan sesuatu tanpa (boleh) berfikir. Mereka juga tidak mengenal bahaya dan tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk.
Semua kanak-kanak seusianya mempunyai ciri-ciri ini kerana mereka belum matang dan otak mereka belum berkembang untuk mereka membuat keputusan yang rasional.
MENJADI TANGGUNGJAWAB IBUBAPA UNTUK:
1) menetapkan ‘boundary’ masa supaya anak-anak ini tahu waktu mana yang sesuai dan waktu mana yang tidak sesuai untuk melakukan sesuatu.
Contohnya, boleh menggunakan telefon tetapi ada waktu dan tempatnya, bukannya sesuka hati mengikut kemahuan. Tetapkan juga rutin harian dan waktu tidur anak supaya mereka mendapat rehat yang cukup dan tidak terlalu leka dengan aktiviti-aktivitinya.
2)menyediakan persekitaran yang selamat untuk anak-anak ini terokai. Pastikan pagar rumah berkunci jika jalan raya di hadapan rumah adalah laluan utama kenderaan. Pastikan susun atur dalam rumah sesuai untuk anak bermain dan meneroka.
3)bermain dan melakukan aktiviti/projek bersama-sama dengan anak kerana bagi anak-anak ini, itulah buktinya anda memberi perhatian dan menghargai ketekunan dan keazaman mereka dalam melakukan sesuatu. Jika anak tidak mendapat perhatian, dia akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan atau pun mungkin membahayakan diri untuk mendapatkan perhatian itu.
4)banyakkan meluangkan masa dan berinteraksi dengan anak supaya kita faham perkembangan anak, ‘akal’ anak dan corak pemikiran anak.
5)memuji usaha, motivasi dan strategi yang anak tunjukkan dalam melaksanakan sesuatu supaya mereka terus bersemangat untuk berbuat kebaikan.
6)menyalurkan tenaga dan keazaman tinggi anak untuk melakukan sesuatu ke saluran yang betul. Pupuk skil ataupun minat yang anda lihat ada pada anak supaya ia menjadi satu kekuatan atau kelebihan anak.
7)menjadi teladan yang baik buat anak. Jangan jadi mangsa ‘DISTRACTED PARENT SYNDROM’ atau ‘TECHNOFERENCE’ di mana ibubapa sendiri ketagihan gajet. Anak akan meniru.
“Children see children do”
Akhir sekali, perlu diketahui bahawa beberapa orang pakar dan pengkaji dalam bidang neurosains menggelarkan peranti skrin, peranti digital dan gajet sebagai ‘electronic cocaine’ ataupun 'digital heroine' (dadah) kerana kesan penggunaan gajet yang BERLEBIH-LEBIHAN menyebabkan kanak-kanak menjadi ‘disconnected’ dengan realiti ataupun berada dalam dunianya yang tersendiri, khayal, dan leka tanpa menyedari apa yang berlaku di sekitarnya sama kesannya dengan mereka yang ketagihan dadah.
Ketahuilah perkembangan dan sifat semulajadi anak supaya kita dapat membimbing dan mendidik mereka dengan kaedah yang unik dan sesuai dengan diri anak tersebut.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Nota: Penulisan ini berkaitan anak tipikal. Anak berkeperluan khas seperti ADHD ataupun Autism memerlukan kaedah yang lebih terancang oleh pakar.
XOXO
Lots of loves -H3H-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment